Wednesday, March 10, 2021

Inisiatif #20: Pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam Pembelajaran Abad ke-21 SK Kampung Kebuaw

 

Cerita Testimoni / Inspirasi / Amalan Terbaik

Bermula dengan lawatan daripada pihak nazir, sekolah ini dipantau dengan pembudayaan amalan KBAT dalam pentadbiran dan pembelajaran. Lawatan itu tidak hanya memantau tetapi turut membantu penggerak sekolah ini untuk membudayakan amalan KBAT dalam pentadbiran dan pembelajaran dengan lebih meluas dan efektif.

   Rentetan daripada lawatan tersebut, sekolah ini diberi Penarafan KBAT dan diangkat menjadi sekolah mentor bagi sekolah-sekolah yang lain di daerah Dalat. Dengan ini satu program bersama dirancang dan dilaksanakan, iaitu Program Peluasan Sekolah Penarafan KBAT kepada Sekolah Mentee.

     Meskipun sekolah ini menjadi sekolah mentor, kami juga turut mengambil perkongsian daripada guru-guru yang lebih berpengalaman dalam lapangan pendidikan  bagi menambah baik pembudayaan KBAT dalam pentadbiran dan pembelajaran.

         Program yang dijalankan ini, menyaksikan 3 buah sekolah membentang plan strategik sekolah masing-masing yang menerapkan unsur KBAT dalam jurang, skop ataupun bidang tugas yang berkaitan dengan pentadbiran sekolah baik dari sudut pentadbiran itu sendiri, kurikulum, pengurusan murid dan kokurikulum.

        Secara peribadi program ini membantu kami sekolah mentor dan mentee untuk sama-sama membuat penambahbaikan dalam menjayakan amalam pembudayaan KBAT dalam pendidikan secara umumnya, dan dalam pembelajaran secara khususnya.

        Bagi program Pentaksiran Kompetensi Literasi (PKL), sekolah diberi pilihan untuk melaksanakan PKL secara atas talian atau luar talian berdasarkan kesesuaian sekolah. Sekolah kami memilih untuk melaksanakannya secara atas talian. Satu cabaran buat kami apabila melaksanakan PKL atas sebab lokaliti sekolah kami yang terletak di kawasan pedalaman dan di tepi sungai menyukarkan kami mendapatkan capaian internet yang stabil.

         Berpegang kepada prinsip, dimana ada kemahuan, di situ ada jalan, sesi PKL berjaya dilaksanakan. Jadual pelaksanaan dirangka; guru dan murid diberikan kumpulan pemantauan dan pelaksanaan program. Bagi memastikan pentaksiran dilaksanakan secara serentak dalam kumpulan murid, komputer riba guru-guru telah diguna pakai. Komputer riba yang dibekalkan kepada sekolah sebelum ini tidak dapat berfungsi dengan baik.

         Satu pengalaman yang menarik yang boleh dikongsikan, pelaksanaan PKL sekolah kami dilaksanakan di kawasan wharf sekolah, satu-satunya lokasi yang ada liputan internet yang stabil. Kumpulan guru dan murid perlu mengangkat meja dan kerusi ke kawasan wharf sekolah bagi memberi keselesaan kepada murid-murid menjawab pentaksiran.

Meskipun perjalanan masih jauh, semoga usaha dan langkah-langkah yang dibuat pada ketika ini menjadi laluan kepada kejayaan amalan pembudayaan KBAT dalam pembelajaran pada masa akan datang.      


-Nukilan #sirdancik 10 Mac 2021.
Terima kasih cik, yang banyak menyumbang.