Inisiatif #20: Pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam Pembelajaran Abad ke-21 SK Kampung Kebuaw
 
Cerita Testimoni / Inspirasi /
Amalan Terbaik
Bermula dengan lawatan daripada pihak nazir, sekolah ini dipantau
dengan pembudayaan amalan KBAT dalam pentadbiran dan pembelajaran. Lawatan itu
tidak hanya memantau tetapi turut membantu penggerak sekolah ini untuk
membudayakan amalan KBAT dalam pentadbiran dan pembelajaran dengan lebih meluas
dan efektif.
   Rentetan daripada lawatan
tersebut, sekolah ini diberi Penarafan KBAT dan diangkat menjadi sekolah mentor
bagi sekolah-sekolah yang lain di daerah Dalat. Dengan ini satu program bersama
dirancang dan dilaksanakan, iaitu Program Peluasan Sekolah Penarafan KBAT
kepada Sekolah Mentee.
     Meskipun sekolah ini
menjadi sekolah mentor, kami juga turut mengambil perkongsian daripada
guru-guru yang lebih berpengalaman dalam lapangan pendidikan  bagi menambah baik pembudayaan KBAT dalam
pentadbiran dan pembelajaran. 
         Program yang
dijalankan ini, menyaksikan 3 buah sekolah membentang plan strategik sekolah
masing-masing yang menerapkan unsur KBAT dalam jurang, skop ataupun bidang
tugas yang berkaitan dengan pentadbiran sekolah baik dari sudut pentadbiran itu
sendiri, kurikulum, pengurusan murid dan kokurikulum. 
        Secara peribadi
program ini membantu kami sekolah mentor dan mentee untuk sama-sama membuat
penambahbaikan dalam menjayakan amalam pembudayaan KBAT dalam pendidikan secara
umumnya, dan dalam pembelajaran secara khususnya.
        Bagi program
Pentaksiran Kompetensi Literasi (PKL), sekolah diberi pilihan untuk
melaksanakan PKL secara atas talian atau luar talian berdasarkan kesesuaian
sekolah. Sekolah kami memilih untuk melaksanakannya secara atas talian. Satu
cabaran buat kami apabila melaksanakan PKL atas sebab lokaliti sekolah kami
yang terletak di kawasan pedalaman dan di tepi sungai menyukarkan kami
mendapatkan capaian internet yang stabil.
         Berpegang kepada prinsip, dimana
ada kemahuan, di situ ada jalan, sesi PKL berjaya dilaksanakan. Jadual
pelaksanaan dirangka; guru dan murid diberikan kumpulan pemantauan dan
pelaksanaan program. Bagi memastikan pentaksiran dilaksanakan secara serentak
dalam kumpulan murid, komputer riba guru-guru telah diguna pakai. Komputer riba
yang dibekalkan kepada sekolah sebelum ini tidak dapat berfungsi dengan baik.
         Satu
pengalaman yang menarik yang boleh dikongsikan, pelaksanaan PKL sekolah kami
dilaksanakan di kawasan wharf sekolah, satu-satunya lokasi yang ada liputan
internet yang stabil. Kumpulan guru dan murid perlu mengangkat meja dan kerusi
ke kawasan wharf sekolah bagi memberi keselesaan kepada murid-murid menjawab
pentaksiran.
Meskipun perjalanan masih jauh, semoga usaha dan
langkah-langkah yang dibuat pada ketika ini menjadi laluan kepada kejayaan
amalan pembudayaan KBAT dalam pembelajaran pada masa akan datang.      
-Nukilan #sirdancik 10 Mac 2021.
Terima kasih cik, yang banyak menyumbang.   
 
 
 
 
 
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment